Ukhuwah Never Ends

Recent Updates

Sunday, February 21, 2010

Hidup & Mati Kerana Allah

Assalamualaikum,

Ayat Quran untuk hari ini adalah Ayat 2, Surah Al-Mulk:-

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

yang bermaksud:

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);"

Ramai dari kita yang tidak mengerti sebab apa kita ada di dunia. Adakah untuk mengumpul segala harta yang ada? Adakah untuk menjadi pemimpin untuk berkuasa atau menyalahgunakan kuasa? Adakah untuk menjadi penyanyi atau pelakun yang terkenal? Atau adakah untuk bersenang-lenang sahaja?

Jawapannya adalah untuk Allah SWT menguji atau menduga kita kerana dunia ini adalah tempat kita diuji. Kita diuji supaya Allah SWT mengetahui sekuat manakah iman kita dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, supaya di manakah kita akan di tempatkan selepas kita meninggalkan dunia ini kelak. Tiada sesiapa akan dapat mengelak dari mati - tiap-tiap orang pasti akan mati satu hari. Yang membezakan antara orang-orang yang mati itu adalah samada mereka akan menuju ke neraka atau syurga selepas itu. Neraka dan syurga adalah untuk selama-lamanya, bukan untuk sementara.

Olih itu beramal dan sediakanlah diri untuk dunia yang lagi satu, iaitu syurga. Cara untuk menuju ke syurga adalah lulus segala ujian dan dugaan-dugaan yang Tuhan beri, bukan lulus SPM atau Universiti. Lulus SPM atau Universiti adalah sekadar untuk mencari dan mendapat rezeki di dunia, tetapu lulus ujian Tuhan adalah mencari dan mendapat tempat di syurga. Hadith Nabi s.a.w. menasihatkan supaya kita mengamalkan kerja-kerja kebajikan sementara kita masih muda, masih sihat, masih ada masa, masih ada duit dan masih hidup:-

Daripada Abdullah bin Abbas r.a. Nabi s.a.w. bersabda,"Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: Muda sebelum engkau tua,sihat sebelum engkau sakit, kaya sebelum engkau miskin, kelapangan sebelum engkau sibuk,hidup sebelum engkau mati." (Riwayat al-Hakim)

Bila kita sudah tidak berupaya lagi untuk melakukan kebajikan, macam mana kita nak pastikan bahawa bekalan kita untuk hari akhirat akan mencukupi?

Wallahu'alam. ...

Monday, February 8, 2010

Politik Islam

POLITIK ISLAM

Politik yang diamalkan di negara kita hari ini adalah cara politik yang dibawa dari barat yang diambil dari tamaddun Greek di Rome yang wujud lama sebelum tamaddun Islam lahir. Melalui sistem politik inilah telah diambil kesempatan oleh sebahagian pejuang-pejuang Islam di Malaysia menggunakannya untuk memperjuangkan dan mendaulatkan agama Islam. Oleh itu tidak hairanlah wujudnya parti-parti politik Islam seperti PAS yang juga berada di bawah sistem politik ala Rome ini, maaf, saya tidaklah bermaksud untuk memperkecilkan perjuangan PAS. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah begitulah juga keadaannya di negara-negara lain yang mengamalkan sistem politik ini seperti Pakistan, Mesir, Bangladesh, Algeria dan lain-lain lagi. Di negara-negara ini juga terdapat parti-parti politik yang mendakwa memperjuangkan Islam seperti PAS.

Sebenarnya, kita selamanya tidak akan berjaya untuk memperjuangkan agama Islam ini kalau kita mengambil pendekatan lain selain dari cara yang ditunjukkan oleh Allah melalui RasulNya Muhammad s.a.w. Kalau kita hendak berjaya dalam memperjuangkan Islam atau menegakkan Islam di muka bumi ini maka kita hendaklah menggunakan cara yang diredai Allah yang telah ditunjukkan oleh Allah melalui RasulNya itu. Rasulullah itu adalah sebaik contoh kepada umat manusia.

Cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam menegakkan pemerintahan Islam adalah kaedah yang diredai Allah. Kaedah yang Allah reda, tentulah layak mendapat kemenangan. Kalau kita melihat kembali kepada perjuangan Rasulullah, ia bermula dengan mengajak manusia beriman (kalau dalam konteks Malaysia, kita kenalah mengajak secara hikmah orang Cina dan India supaya beriman) dan menghayati nilai dan akhlak yang mulia. Keutamaan perjuangan Rasulullah ialah membetulkan keimanan manusia dan membentuk akhlak mereka. Mendapatkan kuasa pemerintahan bukanlah merupakan keutamaan dalam Islam. Seperti firman Tuhan yang mafhumnya berbunyi "Tidak diturunkan Muhammad itu melainkan untuk membentuk akhlak manusia" . Itulah sebab nabi tidak diturunkan beserta dengan bala tentera dan kelengkapan perang canggih bagi membantunya mendapatkan kuasa. Malah nabi dilahirkan dan dibesarkan dalam keadaan lemah lagi yatim piatu.

Nabi pernah ditawarkan untuk menjadi Raja oleh musyrikin Mekah, kalau ikut fikiran kita bagus kalau diterima tawaran itu, kalau telah menjadi Raja sudah tentu dia berkuasa, mudahlah menyebarkan ajaran Islam malah boleh paksa orang masuk Islam. Tetapi sebaliknya nabi telah tolak tawaran itu kerana itu bukanlah cara yang Tuhan kehendaki. Nabi tidak pernah menawan jasad manusia dengan peraturan dan undang-undang. Sebaliknya nabi telah dapat menawan hati manusia dengan iman dan akhlaknya yang mulia. Tidak pernah saya dengar dalam sejarahnya orang masuk Islam kerana tertarik dengan jubah yang dipakai nabi atau tertarik dengan panjangnya janggut nabi, tetapi apa yang menarik mereka memeluk Islam kerana tersentuh dengan baik akhlak Rasullullah itu sendiri. Pernah satu ketika Rasulullah menziarah seorang musyrik yang dikhabarkan sedang sakit, padahal orang tersebut sebelum itu kerapkali meletakkan tahi di depan pintu rumah baginda. Tentu siapa saja akan tersentuh dengan kemuliaan akhlak Rasulullah ini. Kalau hendak tahu agama seseorang itu baik atau tak baik, betul atau tidak lihatlah pada akhlak pengikutnya. Akhlak pengikut mencerminkan agamanya.

Apabila hati manusia telah dapat ditawan dengan cara yang Tuhan reda, dengan sendirinya kuasa akan berada di tangan kita. Tidakkan lari gunung dikejar, berlalu awan nampaklah dia. Oleh itu janganlah kita taksub terhadap parti-parti politik yang terdapat di Malaysia ini kerana perjuangan Islam melalui parti ini bukanlah perjuangan Islam yang mengikut kaedah yang ditunjukkan oleh Allah melalui RasulNya Muhammad s.a.w. Sebaliknya kita kena ikut dan tekankan cara perjuangan Rasulullah, cara yang Tuhan reda. Pendekatan Rasul itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan kita. Di sini bukanlah maknanya saya melarang anda sokong PAS atau UMNO, apa yang perlu dijauhkan apabila menyertai parti politik ialah perasaan taksub kepada parti. Kita kena ikut keutamaan.

Kalau Nabi Muhammad dilahirkan di zaman yang mempunyai sistem politik berparti seperti hari ini, saya tak fikir baginda juga akan menubuhkan satu parti untuk memperjuangkan agama Islam. Keahlian parti seseorang itu boleh dilucutkan pada bila-bila masa, sedangkan keahlian Islam tidak siapa yang boleh melucutkannya kecuali dia sendiri yang murtad. Bukanlah maksud saya di sini hendak menentang sistem politik berparti yang kita amalkan ini. Tetapi yang saya tak setuju bila kita menggunakannya untuk memperjuangkan Islam, kerana perjuangan Islam itu haruslah mengikut cara yang ditunjukkan Allah melalui RasulNya. Akibat dari menggunakan parti politik sebagai cara memperjuangkan Islam menyebabkan ahli parti menjadi taksub kepada benda yang tidak sepatutnya kita taksub, akhirnya umat Islam menjadi keliru dan berpecah belah. Sistem politik yang ada hari memang tidak dapat mengelakkan kita dari berbeza pendapat dan fahaman, tetapi sepatutnya tidaklah sampai umat Islam bergaduh dan berpecah belah kerananya. Sepatutnya kita hanya taksub kepada cara Rasulullah dalam memperjuangkan Islam kerana itulah satu-satunya cara perjuangan yang diredai Allah dan dijamin kejayaannya.

Kalau semua dari kita betul-betul bersungguh-sungguh dalam menghayati cara perjuangan Rasulullah ini maka insyallah di suatu masa nanti semua ahli parti di dalam MCA, MIC, UMNO, PAS, DAP dan lain-lainnya itu akan terdiri dari orang-orang yang beriman dan berakhlak mulia. Dengan sendirinya kuasa Islam itu tertegak juga akhirnya. Masa depan kita sebenarnya bergantung kepada apa yang kita pilih hari ini.